Saturday 4 August 2018

Catatan Si Tua - Bhg. 3

Sudah dua bulan berlalu sejak kali terakhir berjumpa dengan Pak Mail di klinik tempoh hari. Hari-hari aku di klinik berjalan seperti biasa. Pelbagai ragam pesakit yang aku jumpa di klinik dan semuanya diberi layanan sama rata. 

Kebanyakan pesakit yang berusia emas ini kita perlu beri layanan yang lebih baik kerana mereka mereka lebih memerlukan keprihatinan dari perawat seperti aku. Aku tidak nafikan, terdapat juga pesakit atau waris mereka yang bertindak kasar terhadap kakitangan kesihatan seperti aku, namun kita tetap harus menunjukkan layanan yang terbaik tanpa menimbulkan sebarang ketegangan. Mungkin kerana cara layanan ku terhadap pesakit-pesakit membuatkan mereka lebih senang setiap kali berjumpa dengan aku. 

Waktu itu, aku sedang memberi temujanji kepada seorang pesakit di kaunter temujanji. Ada seorang wanita berusia 40-an datang berjumpa dengan rakan sekerja aku dan wajahnya seperti mencari seseorang.

"Maaf misi, saya nak tau ada tak staff  yang bernama Azman?" 

"Azman? Ade, tapi kenapa puan nak jumpa dia ye?" soal Husna

"Ada sesuatu saya nak cakap dengan dia." Husna memandang ke arah ku dan memberi isyarat mata kepadaku yang dari tadi melihat ke arah mereka.

"Saya Azman. Kenapa puan nak jumpa saya ye?"

"Oh, Azman ye?"

"Ye, saya." Aku lihat wanita itu seperti gembira berjumpa dengan aku. Namun dari raut wajahnya terlihat seperti sedang menyembunyikan sebuah perasaan yang duka.

"Sebenarnya, saya datang nak bagi tahu yang ayah saya, Pak Mail sedang berada di Wad 5." 

"Ayah saya selalu sebut pasal encik Azman, tetapi dia pesan jangan bagi tahu encik Azman yang dia ada di wad."

"Owh, ye ke. Kenapa Pak Mail tak nak saya tahu dia kat wad?"

"Dia kata, tentu encik Azman akan risau." Aku tersenyum mendengar jawapan itu. Pak Mail tak berubah, selalu memikirkan perasaan orang lain lebih dari perasaan sendiri. 

"Ayah saya selalu cerita pasal encik Azman. Dia kata encik Azman selalu ambil berat tentang dia setiap kali dia datang klinik ni. Kalau boleh, encik datang lah tengok-tengok ayah saya di wad. Mungkin ayah dah tak lama tapi..." Wanita itu tidak mampu nak meneruskan kata-katanya. Terlihat kesedihan di wajahnya.

"Puan jangan risau, nanti bila saya free, saya datang ye. Terima kasih kerana beritahu saya ye."

"Saya tahu, ayah ada cerita pasal kami adik beradik pada encik Azman. Sekarang baru kami sedar, ayah sebenarnya sayang pada kami cuma kami terlalu ego dan pentingkan diri sendiri."

"Puan, sekarang bukan masa untuk menyesali peristiwa lalu. Sekarang masa untuk puan dan adik beradik memberi sokongan dan menjaga ayah puan. Saya sekadar memberi pendapat saya pada ayah puan. Saya hanya menjalankan tugas saya."

"Terima kasih ya, encik. Saya naik wad dulu la ye. Nanti bila encik ada masa jumpalah ayah saya di wad ye." Wanita itu terus berlalu  membuatkan aku terdiam dan berfikir seketika. 

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Sampai di Wad 5D, Aku melihat senarai nama pesakit di papan putih di hadapan wad. Pak Mail berada di katil 25. Ramai orang berada di katil 25 dan aku tidak mengenali sesiapa. Mungkin silap katil fikirku. Tiba-tiba seseorang melambai tangan pada ku dari katil 25 tersebut. Anak Pak Mail yang berjumpa dengan ku pagi tadi rupanya. 

Aku lihat seorang tua, sedang tidur keletihan terbaring di atas katil. Wajahnya tenang. Dibantu dengan alat bantuan pernafasan membuatkan orang tua itu tidur lena. Suasana sayu menyelubungi katil 25. 

"Encik Azman ye?" Seorang lelaki berbadan besar menegurku dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku menyambut tangan lelaki itu.

"Maaf, saya baru tahu pak Mail masuk wad sini."

"Takpe, kami taknak susahkan encik sebenarnya sebab ayah pun dah bagi tahu jangan bagi tahu encik. Tapi kami rasa encik perlu tahu juga, sebab ayah selalu sebut pasal encik. " Sekali lagi aku mendapat jawapan yang sama yang membuatkan aku rasa serba salah, terharu dan malu. Malu kerana dilayan seperti orang yang istimewa.

Anak lelaki pak Mail yang menggelarkan diri nya sebagai Azmi menceritakan bagaimana ayahnya boleh sampai masuk wad. Khusyuk aku mendengar. Dari apa yang diceritakan, rupanya Pak Mail telah drive kereta seorang diri ke Rembau, rumah saudaranya. Namun, sampai di rumah saudaranya itu, Pak Mail tiba-tiba demam panas dan terpaksa bermalam di rembau. S
elepas dua hari tidak sembuh, Pak Mail pulang seorang diri pulang ke Kuala Lumpur untuk datang ke hospital ini. Semuanya dilakukan seorang diri tanpa memberitahu anak-anak kerana tidak ingin menyusahkan anak-anak.

Setelah diperiksa di jabatan kecemasan, pada mulanya doktor suspek pak Mail demam denggi tetapi setelah diperiksa di wad Pak Mail mengalami komplikasi lain akibat penyakit barah yang di alami. 

"Selama ini ayah bagi tahu kami adik beradik yang dia sakit biasa je." Bergenang air mata abang Azmi. "Memang kami sibuk dengan kerja. Kami tak sangka penyakit ayah serius sebab ayah tak pernak nak cerita dengan kami. Kami tak pernah tengok ayah sakit."

Aku memandang wajah pak Mail. Sedih melihat keadaan nya ketika itu. Aku tahu keadaan barahnya semakin teruk tetapi aku juga tau pak Mail menyembunyikan sakitnya.

Mungkin disebabkan keadaan yang tenang tiba-tiba bertukar menjadi hiba membuatkan Pak Mail terjaga.

"Eh, Azman...." 


-BERSAMBUNG-

No comments:

Post a Comment