Friday 3 August 2018

Catatan Si Tua - Bhg. 2

"Pakcik dah tua, anak-anak semua dah berkeluarga. Ada yang senang dan ada yang susah." Pak Mail mengeluh panjang sebelum memulakan lagi luahan hatinya. 

Aku yang ketika itu dapat merasakan orang tua itu ada sesuatu yang dipendamkan dan hendak diluahkan. Namun, walaupun senyuman yang terukir di raut muka Pak Mail, aku dapat rasakan derita yang ditanggung. 

"Macam mana pak Mail masih boleh tersenyum ketika ini?" Ada sesuatu yang harus aku pelajari dari orang tua ini.

"Redha dan ikhlas." jawab pak Mail tenang.

"Maksud pak cik?"

"Bila kita redha dengan nasib dan ujian yang kita sedang hadapi, kita tidak akan mudah mengeluh. Bila setiap apa yang kita lakukan, kita harus ikhlas. Itu akan membuatkan kita lebih tenang. Pak cik tak pernah mengharapkan anak-anak untuk bawa pakcik ke hospital kerana pakcik tau mereka semua sibuk."

Aku mendengar dengan penuh khusyuk.

"Lagipun, pak cik tak nak anak-anak pak cik rasa terbeban dengan pak cik, nanti mereka jadi anak derhaka. Lebih baik pak cik tak perlu harapkan sebab pak cik masih mampu buat sendiri. Pak cik duduk dengan anak dan menantu, tapi mereka bekerja, cucu-cucu pulak semua sekolah. Tak kan lah mereka nak ponteng kerja dan sekolah sebab nak bawa pak cik ke hospital."

"Tapi pak cik, itu kan tanggungjawab mereka untuk menjaga pak cik? Kalau saya, saya tak kan biarkan ayah saya seorang diri berjumpa doktor."


"Kamu anak yang baik. Beruntung ibu-bapa kamu. Tapi anak-anak pak cik masa kecil mereka tak dapat kasih sayang yang sempurna dari pak cik. Jadi, bila besar mereka tak tau macam mana nak tunjuk kasih sayang pada pak cik."

"Macam mana mereka nak tunjuk kasih sayang kalau pak cik tak bagi peluang kepada mereka? Mungkin dengan menemani pak cik ke hospital, mereka dapat berbuat baik dan berbakti kepada ayah mereka..." Aku pula yang memberi ceramah kepada orang tua itu.

Suasana menjadi senyap seketika. Pak Mail seolah-olah sedang berfikir dan merenung jauh kehidupannya yang lalu.

"Betul juga apa yang kamu cakap. Insya-Allah, nanti pak cik bincang dengan anak-anak dan cucu-cucu pak cik. Terima kasih ye,nak."

"Sama-sama, pak cik." Selepas bersalaman, Pak Mail meminta diri untuk pulang ke rumah.

Aku memandang penuh dengan rasa simpati. Namun kagum dengan apa yang dilalui oleh orang tua itu. Pak Mail bukan sahaja tabah,namun kerana tidak mahu anak-anaknya menderhaka dia sanggup meredah kesesakan lalu-lintas untuk sampai ke hospital. Dalam usia 70-an itu, beliau masih kuat dan cergas.

Apa yang dapat aku pelajari adalah redha dan ikhlas.Benar kata pak Mail, jika kita redha dengan setiap ujian yang kita lalui dan ikhlas dalam setiap pekerjaan yang kita buat, kita tidak akan mudah mengeluh dan akan tenang dalam setiap pekerjaaan yang kita buat.

Aku harap, aku dapat berjumpa dengan Pak Mail lagi. Banyak yang aku mahu belajar dari orang tua itu. Ya! Ilmu tentang kehidupan. 

Semoga Pak Mail tetap sihat agar dapat aku berjumpa dengan orang tua itu lagi.



-BERSAMBUNG-

No comments:

Post a Comment