Wednesday 25 September 2019

KENANGAN CINTA

Di malam yang indah ini
Ku terkenangkan dirimu
Yang selalu aku rindu
Yang tidak pernah ku jemu

Indah bila kau dan aku
Bagai kumbang dan bunga
Sentiasa bersama kemana sahaja
Penawar kala duka
Pelindung kala memerlukan

Kita pernah melayari saat bahagia
Gelak ketawa keliling dunia
Bersama-sama mencipta mimpi
Saling mencinta dan melengkapi

Kemanakah janji setiamu
Takkan luntur nama di hati
Tika hati hanya untukmu
Mengapa diguris hati ini
Mengapa mudah berdusta
Saat jiwa hanya untukmu

Semoga cinta ini
Terkubur bersama mimpi
Yang pernah kita cipta
Biar cinta ini hanyut
Bersama aliran air mata ini
Yang telah kau hancurkan

Biar cinta jadi kenangan
Biar cinta jadi kenangan



SHARIZAL SUHAIMI



Monday 8 April 2019

REVIEW BUKU PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2019

TAJUK BUKU : HADIAH BUAT NUR / HOPE
KARYA : ARIFF KHAIRUDDIN

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini aku nak buat review buku yang baru saje aku beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam daripada penulis sendiri, iaitu Tuan Ariff Khairuddin. Buku Hadiah Buat Nur adalah hasil tulisan Tuan Ariff Khairuddin sendiri dan buku Hope adalah hasil terjemahan ke bahasa Inggeris oleh Kertas Terbang Studio.

Kedua-dua buku ini merupakan sebuah Travelog Kemanusiaan, hasil pengalaman yang dikutip sendiri oleh penulis, yang bagi aku adalah sangat 'rare' di Malaysia ini.

Buku berbentuk narratif dari sudut pandangan penulis ini bagi saya cukup mudah untuk kita fahami perasaan dan pandangan penulis terhadap peristiwa-peristiwa yang yang berlaku sepanjang misi kemanusiaan ini dijalankan. 

Hadiah Buat Nur (Hope) menceritakan pengalaman peribadi penulis dalam misi menghantar ambulans ke wilayah bergolak Syria yang dipandu oleh penulis sendiri melalui laluan darat dan laut Eropah.

Bila kita dengar tentang misi kemanusiaan, tentu kita tak dapat bayangkan apakah perasaan sukarelawan-sukarelawan yang menyertai misi ini bukan?
Apakah perasaan ahli keluarga semasa menghantar ahli keluarga untuk misi ini?
Apakah layanan yang diterima sepanjang perjalanan menuju ke destinasi?
Adakah ada harapan untuk mereka kembali kepangkuan keluarga?
Apakah perjalanan mereka ke Eropah seperti makan angin hidup udara segar, makan makanan barat yang lazat-lazat?
Apakah penerimaan masayarakt setempat terhadap misi yang dibawa ini?
Apakah harapan rakyat Malaysia terhadap misi dan amanah yang dipikul dan dibebankan ke atas mereka?

Semua persoalan ini dijelaskan sebaik mungkin oleh penulis dalam travelog Hadiah Buat Nur ini.

Saya rasa sungguh terharu dari awal pembacaan buku ini lagi. Rasa ingin tahu yang menebal apakah situasi yang dihadapi oleh penulis dan sukarelawan-sukarelawan lain membawa saya ke penghujung cerita dengan penuh keterujaan.

Pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan lebih 3,200km bagi saya hanya mereka sahaja yang tahu. Namun bagi saya mereka adalah insan-insan yang terpilih untuk memikul tanggungjawab ini sehinggalah mereka berjaya menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

Tahniah saya ucapkan diatas kejayaan sukarelawan-sukarelawan misi kemanusiaan ini.

Tahniah dan terima kasih di atas penghasilan buku ini kerana memberi peluang kepada saya dan semua pembaca menyelami dan meneladani kisah-kisah sepanjang misi kemanusiaan ini.

Mesej-mesej kemanusiaan yang dibawa sepanjang misi ini turut sampai kepada semua pembaca.

***********************************
20 orang anak muda tempatan,

7 buah ambulans tajaan rakyat Malaysia,

5 buah negara Eropah dilalui,

United Kingdom, Perancis, Itali, Greece dan Bulgaria.

lebih 3,200km perjalanan,

6 kali ditahan pihak berkuasa,

Satu matlamat.

Tahniah !!!

Sharizal Suhaimi




Thursday 28 February 2019

NOKTAH

Hidup kita ini, 
selagi kita diberi nikmat  
selagi kita diberi kekuatan  
dan kejayaan
selagi itu juga kita sentiasa
inginkan segala-galanya
mengejar kepuasan dunia
mendabik dada hingga langit tujuh
Akulah yang hebat

Akulah yang berkuasa

Kita sihat
bukan kerana kita kuat
tapi kerana Allah itu hebat
memberi kesihatan
walau kita alpa
memberi kenikmatan
walau kita kufur
memberi sejahtera
walau kita dusta
melimpahkan rezeki
walau diterik mentari.
Lagu kehidupan
tidak pernah berubah
melodinya walau berulang
Kekadang indah di telinga
menusuk di kalbu
mendekatkan jarak hati
memberi kedamaian
pada jiwa yang lara
memberi semangat
pada jiwa yang layu
Begitulah hidup ini
ada masa sedih
ada masa gembira
namun hidup
harus ditempuh
walau sesukar mana
walau seperit mana
laluilah ia
dengan penuh keikhlasan
Kerna,
di hujung nanti
kita akan mengenali
erti sebuah kehidupan
erti sebuah kekeluargaan
erti sebuah persahabatan
erti perhubungan
erti sebuah kehidupan
yang telah kita lalui
sama ada akan kita redha
atau sesali.
Penghujungnya,
kita kekal abadi
menjadi kenangan.

Monday 17 December 2018

-REVIEW FILEM AQUAMAN : PERSAMAAN DENGAN FILEM/DRAMA MELAYU-

Akhirnya malam tadi aku tengok jugak Filem Aquaman selepas beberapa hari ni aku tengok review yang positif dari kawan-kawan kat FB ni.

Aku rasa excited la bila ada kawan-kawan yang kata dia bagi 5 Bintang untuk filem dari luar negara ni. Ada yang kata juga sanggup tahan nak ke toilet sebab tak nak terlepas scene-scene yang menarik dalam filem ni. Wow! hebat sangat ke cerita ni?

So, bila aku tengok cerita ni, mula-mula memang best lah tengok sejarah macam mana ibu dan bapa Aquaman ni berjumpa. Memang sedih part mak Aquaman terpaksa tinggalkan mereka berdua. Paling aku suka masa Aquaman ikut rombongan sekolah tengok aquarium dalam laut, semua ikan berpihak kepada Aquaman bila dia kena buli dengan rakan sekolah.

Seterusnya, aku terus lost, aku dapati tak banyak beza filem luar negara yang popular ni dengan drama-drama tempatan. Apa persamaan cerita Aquaman ni dengan drama-drama tempatan? Macam ni ceritanya....

1. KAHWIN PAKSA

Ratu Atlantis, iaitu Mak kepada Aquaman pun lari dari kerajaan Atlantis sebab kena taknak kawin dengan pilihan family.

Mera, tunang kepada Raja Orm turut dipaksa kahwin dengan Raja Orm, adik tiri Aquaman. Sebab tak suka kepada Raja Orm, dia pun lari ikut Aquaman.

So, apa beza dengan Filem/drama Melayu? Bezanya CGI.

2. PEREBUTAN KUASA

Secara keseluruhannya, filem ini berkisahkan perebutan kuasa (takhta) antara dua beradik. Atau lebih senang lagi, rebut harta pusaka. Sama macam cerita melayu di Malaysia. Boring kan? Tapi yang membezakan filem ni dengan filem melatu adalah CGI dan aksi yang menarik. Jalan cerita sama macam cerita melayu yang membosankan.

3. CINTA ANTARA DUA DARJAT

Kisah ni adalah antara Bapa Aquaman,  seorang Penjaga Rumah Api dengan seorang Ratu Atlantis (Mak Aquaman). Cinta antara mereka berdua sangat menyayat hati dan mengharukan. Kesetiaan antara mereka berdua sama macam cerita melayu. Cuma bezanya orang putih ni tak macam orang melayu yang boleh kawin lebih....hihihi

4. SALAHGUNA KUASA

Biasalah, bila ada orang yang berkuasa, pasti ada yang salah guna kuasa macam Raja Orm. Sama je macam cerita korporat melayu. Dalam sesebuah syarikat besar-besar, bila orang yang tak sepatutnya berkuasa, mesti dia akan salahguna kuasa atau pecah amanah. Sebijik macam cerita melayu...

5. Korang cuba la kaitkan sendiri kalau korang sependapat dengan aku...

Bagi aku, cerita ni ok lah sebab CGI dia memang power. Pelakon yang berbadan sado, ratu yang cantik, watak antagonis yang menjadi.

So, keseluruhannya, aku bagi 2 Bintang je...

 Sorry kalau tak sependapat dengan korang tau!

-Sharizal Suhaimi-


Saturday 8 September 2018

ANGIN PASANG SURUT


"Selamat pagi pak cik, lama tak jumpa pak cik kat sini."

"Ye lah, pak cik pun memang dah lama tak jumpa doktor kat klinik ni."

"Saya ingatkan pak cik dah discaj dari klinik ni."

"Belum discaj lagi tapi pakcik yang tak datang appointment."

"Kenapa pak cik tak datang appointment?"

"Pak cik pergi berurut dengan tukang urut untuk angin pasang pak cik ni."

"So, macam mana angin pasang pak cik... dah baik ke?"

"Tak baik lagi. Makin besar ade lah! Itu yang datang check up ni.." 😂😂😂

Sunday 2 September 2018

KELAHIRAN BARU SEPTEMBER...




Tanggal 1 september 2018, lahirlah dua buah buku yang ditunggu-tunggu .
Dua buah buku anekdot hasil karya aku dan beberapa orang penulis hebat yang lain.
Bersyukur kerana terpilih dalam projek anekdot ini.

Terima kasih kepada sifu Khairy Tajudin yang memberi peluang kepada saya untuk menulis dalam projek anekdot ini. Insya-Allah akan terus memperbaiki penulisan aku untuk menjadi lebih bagus! hehehee

Buku ape?
Okaylah, dua buku yang dimaksudkan adalah:

1.  RAGAM BUDAK SEKOLAH 
2.  SERAMEDI


1. RAGAM BUDAK SEKOLAH.

Buku ini merupakan hasil tulisan 23 orang penulis dari pelbagai latar belakang bergabung lalu terhasillah buku Ragam Budak Sekolah ini. Di dalam buku ini ada lebih dari 100 buah anekdot yang pasti mengembalikan memori kelakar korang semasa zaman persekolahan dahulu. Seperti tajuk buku ini, buku ini bertemakan kisah-kisah yang berlaku semasa zaman sekolah yang pastinya semua orang pernah mengalami. Seperti saya, zaman persekolahan adalah zaman yang sangat seronok! Pasti kita semua nakkembali ke zaman persekolahan kan? Dapatkan buku ini, pasti korang dapat kembali ke zaman persekolahan!!



2. SERAMEDI

Buku ini adalah hasil tulisan 21 orang penulis yang berbakat (termasuk saya) yang telah menghasilkan antologi anekdot seram komedi ini. Buku ini bukan lah walaupun terdiri daripada kisah-kisah seram, namun elemen komedi dimasukkandalam setiap kisah bagi menimbulkan elemen kelakar dan menghiburkan hati pembaca. Cover buku ini mempunyai kisah sebenarnya. Pihak penerbit sudah beberapa kali menukar cover buku ini supaya dapat menunjukkan elemen kelakar pada model cover ni dan akhirnya setelah melalui proses pengundian dan penambahbaikan, akhirnya inilah hasil cover buku ini. Harap korang tak komplen seram lagi lah ye... :)


p/s : Semoga kelahiran dua buah buku ini dapat menghiburkan hati korang pembaca semua ini. terima kasih kerana menyokong aku dalam bidang penulisan ini.

Oh ya! lupa nak bagi tau.. buku ni tidak dijual di pasaran kerana edisi terhad. Boleh tanya di ruangan komen jika korang berminat ye!


-SHARIZAL SUHAIMI-


Saturday 25 August 2018

PENYALAHGUNAAN KUASA VS INTEGRITI

WAKTU MENUNGGU TERLALU LAMA?? BERIKUT ADALAH CONTOH PENYALAHGUNAAN KUASA YANG BERLAKU DI PREMIS-PREMIS KESIHATAN KERAJAAN.
Penyalahgunaan kuasa sebenarnya sering berlaku di premis-premis kesihatan tidak kira di jabatan kesihatan, klinik-klinik kesihatan, klinik-klinik pakar, dan sebagainya. Penyalahgunaan kuasa ini biasanya melibatkan golongan-golongan tertentu yang mempunyai kuasa atau pengaruh yang tidak perlu saya mention disini kerana saya rasa korang semua boleh agak orang yang macam  mana kan?

Betul!! 

Macam mana salahguna kuasa ni berlaku? Berikut adalah contoh-contoh berlakunya penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku BERDASARKAN PEMERHATIAN & PENGALAMAN SAYA :

  1. "Saya staff sini, nanti bagi nombor awal ye...Saya nak tarikh appointment esok boleh tak? Kita staff tak kan tak boleh tengok cepat kottt..." Hello!!! aku pergi tempat kau, ada kau nak bagi nombor cepat tak? Kau pandang aku pun tak kan.... 
  2. Pegawai atasan menggunakan saluran lain atas tiket mereka pegawai atasan,meminta ahli keluarga atau kerabat mereka mendapat appointment yang cepat dan segera!! Layanan mesti FIRST CLASS... Gagal ikut arahan, boleh kena tukar unit!! No komen... Kau ingat kau pegawai atasan, kau boleh buat hospital ni macam kau punya hospital?? 
  3. Menggunakan nama individu-individu tertentu yang berpengaruh supaya dapat diberi layanan KHAS. Contohnya, "saya ni jiran pengarah hospital ni tau!" , "Saya ni tukang kebun menteri tau!" Oooo tukang kebun pun berlagak macam ni ye?Untuk orang macam ni, kalau aku jumpa, hello kau ingat aku kesah ke kau ni sapa?? Kau ingat aku  nak bagi nombor awal ke??? 
  4. "Saya ni peguam tau, saya ada kes kejap lagi, boleh bagi saya nombor awal?" Kau dah tau kau ada kes, kenapa tak arrange awal-awal? Kau harap orang faham kau, tapi kau ada nak faham pesakit lain yang lebih teruk keadaannya? I'll sue you!!
  5. "Saya nak jumpa Dr. XXX, saya dah call dia, dia suruh bagi appointment awal."       "Saya kawan Dr. XXX , saya nk jumpa dia sekarang." Untung ada kawan-kawan doktor ni, boleh jadi doktor peribadi.
  6. "Awak ni nurse je, saya punya gred lagi tinggi dari awak, tau tak?? Saya ada meeting kejap lagi ni kalau boleh bagi saya nak jumpa doktor cepat ye" I don't care who you are!! Sila tinggalkan pangkat anda di luar hospital boleh??

Sebenarnya, tugas kami di bidang kesihatan ni adalah beri perkhidmatan yang sama rata kepada semua pelanggan kami. Tidak kira lah apa jawatan korang sekalipun, keutamaan diberikan kepada pesakit yang lebih memerlukan. 

Disebabkan mereka-mereka inilah, masa menunggu pesakit menjadi lama. Banyak pesakit yang lebih memerlukan terutamanya mereka yang uzur,bayi @ kanak-kanak dan warga emas yang terpaksa menunggu lama kerana kami terpaksa melayan karenah-karena mereka ini. 

Di klinik-klinik, sistem nombor giliran diberikan mengikut waktu temujanji yang telah ditetapkan. Di Jabatan kecemasan pula, keadaan pesakit disaring terlebih dahulu mengikut keadaan pesakit atau keterukan pesakit sebelum dilabelkan di zon-zon tertentu seperti zon merah, zon kuning dan zon hijau. Ape yang menjadi masalah disini adalah apabila mereka ini tidak mahu mengikut sistem yang kita tetapkan dan mencari jalan supaya tidak perlu mengikut sistem ini.

Kenapa Keadaan Ini Berlaku?

  • TAK MAHU MENUNGGU LAMA
  • PENTINGKAN DIRI SENDIRI
  • SAYA ADA KABEL, SAYA KENA GUNA KABEL
  • TAKPE, AKU STAFF AKU BOLEH ADJUST.
Ape Kesan Dari Penyalahgunaan Kuasa Ini?

  • Masa menunggu lama.
  • Pesakit yang lebih kritikal atau lebih memerlukan terpaksa menunggu lama.
  • Menimbulkan kemarahan pesakit lain yang menunggu lebih lama.
  • Integriti staff tercabar.

DIMANAKAH NILAI INTEGRITI ANDA??

Sebagai penjawat awam, integriti anda dalam melakukan tugas amat dituntut. Bila keadaan ini berlaku, disinilah nilai integriti anda akan diuji. Nak melayan karenah mereka dan mengikut kehendak orang-orang ini atau berpegang pada S.O.P kerja anda?

Bagi mereka yang sering menyalahgunakan kuasa dan pangkat anda, adakah anda seorang yang berintegriti? Jika ya, mengapa masih lagi mahu menyalahgunakan kuasa dan jawatan yang diberikan? Ada beza private clinic dan government clinic sebenarnya tau! 

Nasihat saya, kita sebagai manusia yang penuh dengan sifat-sifat murni seharusnya tidak bersikap mementingkan diri sendiri. Lihatlah keadaan disekeliling anda, lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan yang segera berbanding anda.

Anda ada jawatan yang tinggi, pernahkah anda memandang dibawah? Jika anda pernah memandang dibawah, pernahkan anda turun merasa keadaan dibawah ini? Jangan hanya memandang dari atas, sesekali turun lah kat bawah ni, rasa pengalaman bila diambil kesempatan oleh orang-orang atas yang mempunyai kepentingan dan pengaruh tertentu. 

Salam Kasih Sayang.


-Dressar Kaunter-

Saturday 11 August 2018

Kisah Rambut

"Selamat pagi uncle. Sudah jumpa doktor ke?"

"Sudah, encik. Sekarang mau buat appointment."

"Okay, ini appointment saya sudah buat. Nanti uncle datang ikut appointment yang saya bagi, ya?"

"Terima kasih ya, encik."

"Uncle mau MC ka?"

"Tak payah lah encik, saya sudah tua mana kerja lagi"

"Eh, ye ke? Uncle nampak muda lagi maa..."

"Mana ada muda..sudah tua maa"

"Berapa umur uncle?"

"Sudah tujuh puluh lebih la..."

"Eh, tapi nampak muda lagi macam lima puluh lebih saja umur...Rambut pun hitam lagi"

"Aiyaa... ini saya kasi colour rambut warna hitam la encik...Sebenarnya semua rambut sudah putih"

"Aiyaakkkk!!!! okay lah, uncle boleh balik la.."

-----------------------------------------------------------------------

Macam-macam ragam sebenarnya bila kita berhadapan dengan pesakit-pesakit di klinik terutamanya di bahagian kaunter. Ada kenangan pahit, namun tidak lupa juga kenangan manis. Kenangan manis seperti ini lah yang membuatkan kita rasa bertuah terpilih untuk menghiburkan hati pesakit-pesakit kita.

Walaupun dalam kisah diatas pada mulanya kita silap membuat interpretasi umur pesakit, namun pesakit dapat pulang dengan keadaan SENYUM setelah dipuji lebih muda. Ini sangat menggembirakan hati pesakit dan juga kita sebagai perawat. Tiada yang dapat menceriakan hari kita melainkan pesakit pulang dengan senyuman tanda berpuas hati dengan servis yang kita beri.

Think Positive!


Friday 10 August 2018

ULANG TAHUN PERKAHWINAN KAMI

Tanggal 8 Ogos 2018, genaplah 3 tahun perkahwinan saya dan isteri.
Tapi sayangnya, 8 Ogos tu saya demam, tak dapat nak sambut aniversary. Just pergi makan kedai biasa-biasa je....

Keesokan harinya walaupun masih demam, gigihkan juga bawak pergi makan steamboat dekat restoran Ngences Giga, Setiawangsa.

Alhamdulillah, walaupun simple je kami tetap raikan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ketiga.

Video yang saya buat ni serba sedikit perjalanan kami selama 3 tahun, dari mulanya hubungan yang halal sehinggalah kini. Apa yang paling ketara adalah SAIZ BADAN!!! Hahahaha  😝 😝

Semoga kasih sayang ini akan terus berkekalan...

Aminn....







Saturday 4 August 2018

Catatan Si Tua - Bhg. 3

Sudah dua bulan berlalu sejak kali terakhir berjumpa dengan Pak Mail di klinik tempoh hari. Hari-hari aku di klinik berjalan seperti biasa. Pelbagai ragam pesakit yang aku jumpa di klinik dan semuanya diberi layanan sama rata. 

Kebanyakan pesakit yang berusia emas ini kita perlu beri layanan yang lebih baik kerana mereka mereka lebih memerlukan keprihatinan dari perawat seperti aku. Aku tidak nafikan, terdapat juga pesakit atau waris mereka yang bertindak kasar terhadap kakitangan kesihatan seperti aku, namun kita tetap harus menunjukkan layanan yang terbaik tanpa menimbulkan sebarang ketegangan. Mungkin kerana cara layanan ku terhadap pesakit-pesakit membuatkan mereka lebih senang setiap kali berjumpa dengan aku. 

Waktu itu, aku sedang memberi temujanji kepada seorang pesakit di kaunter temujanji. Ada seorang wanita berusia 40-an datang berjumpa dengan rakan sekerja aku dan wajahnya seperti mencari seseorang.

"Maaf misi, saya nak tau ada tak staff  yang bernama Azman?" 

"Azman? Ade, tapi kenapa puan nak jumpa dia ye?" soal Husna

"Ada sesuatu saya nak cakap dengan dia." Husna memandang ke arah ku dan memberi isyarat mata kepadaku yang dari tadi melihat ke arah mereka.

"Saya Azman. Kenapa puan nak jumpa saya ye?"

"Oh, Azman ye?"

"Ye, saya." Aku lihat wanita itu seperti gembira berjumpa dengan aku. Namun dari raut wajahnya terlihat seperti sedang menyembunyikan sebuah perasaan yang duka.

"Sebenarnya, saya datang nak bagi tahu yang ayah saya, Pak Mail sedang berada di Wad 5." 

"Ayah saya selalu sebut pasal encik Azman, tetapi dia pesan jangan bagi tahu encik Azman yang dia ada di wad."

"Owh, ye ke. Kenapa Pak Mail tak nak saya tahu dia kat wad?"

"Dia kata, tentu encik Azman akan risau." Aku tersenyum mendengar jawapan itu. Pak Mail tak berubah, selalu memikirkan perasaan orang lain lebih dari perasaan sendiri. 

"Ayah saya selalu cerita pasal encik Azman. Dia kata encik Azman selalu ambil berat tentang dia setiap kali dia datang klinik ni. Kalau boleh, encik datang lah tengok-tengok ayah saya di wad. Mungkin ayah dah tak lama tapi..." Wanita itu tidak mampu nak meneruskan kata-katanya. Terlihat kesedihan di wajahnya.

"Puan jangan risau, nanti bila saya free, saya datang ye. Terima kasih kerana beritahu saya ye."

"Saya tahu, ayah ada cerita pasal kami adik beradik pada encik Azman. Sekarang baru kami sedar, ayah sebenarnya sayang pada kami cuma kami terlalu ego dan pentingkan diri sendiri."

"Puan, sekarang bukan masa untuk menyesali peristiwa lalu. Sekarang masa untuk puan dan adik beradik memberi sokongan dan menjaga ayah puan. Saya sekadar memberi pendapat saya pada ayah puan. Saya hanya menjalankan tugas saya."

"Terima kasih ya, encik. Saya naik wad dulu la ye. Nanti bila encik ada masa jumpalah ayah saya di wad ye." Wanita itu terus berlalu  membuatkan aku terdiam dan berfikir seketika. 

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Sampai di Wad 5D, Aku melihat senarai nama pesakit di papan putih di hadapan wad. Pak Mail berada di katil 25. Ramai orang berada di katil 25 dan aku tidak mengenali sesiapa. Mungkin silap katil fikirku. Tiba-tiba seseorang melambai tangan pada ku dari katil 25 tersebut. Anak Pak Mail yang berjumpa dengan ku pagi tadi rupanya. 

Aku lihat seorang tua, sedang tidur keletihan terbaring di atas katil. Wajahnya tenang. Dibantu dengan alat bantuan pernafasan membuatkan orang tua itu tidur lena. Suasana sayu menyelubungi katil 25. 

"Encik Azman ye?" Seorang lelaki berbadan besar menegurku dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku menyambut tangan lelaki itu.

"Maaf, saya baru tahu pak Mail masuk wad sini."

"Takpe, kami taknak susahkan encik sebenarnya sebab ayah pun dah bagi tahu jangan bagi tahu encik. Tapi kami rasa encik perlu tahu juga, sebab ayah selalu sebut pasal encik. " Sekali lagi aku mendapat jawapan yang sama yang membuatkan aku rasa serba salah, terharu dan malu. Malu kerana dilayan seperti orang yang istimewa.

Anak lelaki pak Mail yang menggelarkan diri nya sebagai Azmi menceritakan bagaimana ayahnya boleh sampai masuk wad. Khusyuk aku mendengar. Dari apa yang diceritakan, rupanya Pak Mail telah drive kereta seorang diri ke Rembau, rumah saudaranya. Namun, sampai di rumah saudaranya itu, Pak Mail tiba-tiba demam panas dan terpaksa bermalam di rembau. S
elepas dua hari tidak sembuh, Pak Mail pulang seorang diri pulang ke Kuala Lumpur untuk datang ke hospital ini. Semuanya dilakukan seorang diri tanpa memberitahu anak-anak kerana tidak ingin menyusahkan anak-anak.

Setelah diperiksa di jabatan kecemasan, pada mulanya doktor suspek pak Mail demam denggi tetapi setelah diperiksa di wad Pak Mail mengalami komplikasi lain akibat penyakit barah yang di alami. 

"Selama ini ayah bagi tahu kami adik beradik yang dia sakit biasa je." Bergenang air mata abang Azmi. "Memang kami sibuk dengan kerja. Kami tak sangka penyakit ayah serius sebab ayah tak pernak nak cerita dengan kami. Kami tak pernah tengok ayah sakit."

Aku memandang wajah pak Mail. Sedih melihat keadaan nya ketika itu. Aku tahu keadaan barahnya semakin teruk tetapi aku juga tau pak Mail menyembunyikan sakitnya.

Mungkin disebabkan keadaan yang tenang tiba-tiba bertukar menjadi hiba membuatkan Pak Mail terjaga.

"Eh, Azman...." 


-BERSAMBUNG-

Friday 3 August 2018

Catatan Si Tua - Bhg. 2

"Pakcik dah tua, anak-anak semua dah berkeluarga. Ada yang senang dan ada yang susah." Pak Mail mengeluh panjang sebelum memulakan lagi luahan hatinya. 

Aku yang ketika itu dapat merasakan orang tua itu ada sesuatu yang dipendamkan dan hendak diluahkan. Namun, walaupun senyuman yang terukir di raut muka Pak Mail, aku dapat rasakan derita yang ditanggung. 

"Macam mana pak Mail masih boleh tersenyum ketika ini?" Ada sesuatu yang harus aku pelajari dari orang tua ini.

"Redha dan ikhlas." jawab pak Mail tenang.

"Maksud pak cik?"

"Bila kita redha dengan nasib dan ujian yang kita sedang hadapi, kita tidak akan mudah mengeluh. Bila setiap apa yang kita lakukan, kita harus ikhlas. Itu akan membuatkan kita lebih tenang. Pak cik tak pernah mengharapkan anak-anak untuk bawa pakcik ke hospital kerana pakcik tau mereka semua sibuk."

Aku mendengar dengan penuh khusyuk.

"Lagipun, pak cik tak nak anak-anak pak cik rasa terbeban dengan pak cik, nanti mereka jadi anak derhaka. Lebih baik pak cik tak perlu harapkan sebab pak cik masih mampu buat sendiri. Pak cik duduk dengan anak dan menantu, tapi mereka bekerja, cucu-cucu pulak semua sekolah. Tak kan lah mereka nak ponteng kerja dan sekolah sebab nak bawa pak cik ke hospital."

"Tapi pak cik, itu kan tanggungjawab mereka untuk menjaga pak cik? Kalau saya, saya tak kan biarkan ayah saya seorang diri berjumpa doktor."


"Kamu anak yang baik. Beruntung ibu-bapa kamu. Tapi anak-anak pak cik masa kecil mereka tak dapat kasih sayang yang sempurna dari pak cik. Jadi, bila besar mereka tak tau macam mana nak tunjuk kasih sayang pada pak cik."

"Macam mana mereka nak tunjuk kasih sayang kalau pak cik tak bagi peluang kepada mereka? Mungkin dengan menemani pak cik ke hospital, mereka dapat berbuat baik dan berbakti kepada ayah mereka..." Aku pula yang memberi ceramah kepada orang tua itu.

Suasana menjadi senyap seketika. Pak Mail seolah-olah sedang berfikir dan merenung jauh kehidupannya yang lalu.

"Betul juga apa yang kamu cakap. Insya-Allah, nanti pak cik bincang dengan anak-anak dan cucu-cucu pak cik. Terima kasih ye,nak."

"Sama-sama, pak cik." Selepas bersalaman, Pak Mail meminta diri untuk pulang ke rumah.

Aku memandang penuh dengan rasa simpati. Namun kagum dengan apa yang dilalui oleh orang tua itu. Pak Mail bukan sahaja tabah,namun kerana tidak mahu anak-anaknya menderhaka dia sanggup meredah kesesakan lalu-lintas untuk sampai ke hospital. Dalam usia 70-an itu, beliau masih kuat dan cergas.

Apa yang dapat aku pelajari adalah redha dan ikhlas.Benar kata pak Mail, jika kita redha dengan setiap ujian yang kita lalui dan ikhlas dalam setiap pekerjaan yang kita buat, kita tidak akan mudah mengeluh dan akan tenang dalam setiap pekerjaaan yang kita buat.

Aku harap, aku dapat berjumpa dengan Pak Mail lagi. Banyak yang aku mahu belajar dari orang tua itu. Ya! Ilmu tentang kehidupan. 

Semoga Pak Mail tetap sihat agar dapat aku berjumpa dengan orang tua itu lagi.



-BERSAMBUNG-

Thursday 2 August 2018

Kisah Durian

"Bang, durian ni berapa harga?"

"Empat biji saya jual 20 ringgit."

"Mahal tu, bang."

"Mana ada mahal dik, kedai depan sana 20 ringgit tiga biji lagi mahal."

"Okay lah, kalau macam tu durian ni ada berapa biji?"

"Nanti abang pecahkan durian ni kat muka kau, kira lah sendiri ye, dik!"

*****

MELAYU TAKNAK TOLONG MELAYU!

Alkisahnya di sebuah klinik datang seorang lelaki Melayu 60-an menerjah bilik prosedur dengan niat ingin memotong nombor giliran untuk mengambil darah ibunya.

Namun hajatnya tidak kesampaian kerana staff Melayu tersebut menolak permintaannya memandangkan ibu kepada lelaki Melayu tersebut dikatakan stable,alert,concious. Jadi tidak ada sebab kenapa staff Melayu tersebut harus memberi keutamaan kepada beliau memandangkan di klinik tersebut masih ramai pesakit yang berpuasa menunggu untuk darah mereka diambil dengan penuh sabar.

Lalu staff Melayu itu dicaci dan dimaki dek kerana tidak mahu membantu sesama Melayu. Dia hanya menjalankan tugas dan mengikut peraturan. Namun dia hanya mampu berdiam diri menahan marah dan kecewa.

Kejadian begini sudah kerap kali berlaku di klinik-klinik kesihatan dan jabatan kecemasan. Ia ibarat santapan harian buat kami. Dicaci,diherdik dan dimaki oleh pesakit dan waris pesakit.

Namun hal sebegini tidak menjadi penghalang untuk kami menjalankan tugas kami untuk merawat dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit kami tanpa mengira AGAMA,BANGSA atau WARNA KULIT.

Kepada mereka diluar sana, berpada-padalah. Adakah anda suka dicaci dan diherdik sebegitu? Kami juga manusia seperti anda yang mempunyai hati dan perasaan. Kami tak meminta untuk dihargai setiap masa tapi cukuplah anda faham dan hormati pesakit lain yang sabar menunggu giliran mereka.

Bukan apa takut pula nanti orang yang anda caci dan maki itu yang akan menyelamatkan nyawa ada kelak. Dunia ni penuh dengan kejutan, siapa tahu esok lusa hari anda pula kan? Jangan menyesal dikemudian hari.

Pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan khas oleh The Dressar & Co.

Sumber : FB The Dressar & Co.
Sekadar Gambar Hiasan